Wednesday, April 21, 2004

oraitt..

assalamualaikum wbt..

oraitt ppl..the story is back again..sorry for updating late..its not my fault anyway..hehe..the original author yg lambat update..

CALON PILIHAN ABAH - PART V

Malam tadi aku menghabiskan masa bersembang-sembang dengan Izzah, Zizi, Intan dan Semah sehingga lebih kurang jam 12 malam. Kemudian segera aku kembali ke bilikku, bersolat dan turun ke bawah menonton segala CD dan DVD yang ada. Aku melepaskan geram setelah lama berkurung di bilik. Pukul 4 pagi aku menunaikan solat subuh. Waktu musim-musim panas begini, waktu subuh masuk awal. Setelah itu, aku terus merebahkan diri di atas katil dan tidur dengan penuh lena.

‘Tiiiit’ bunyi mesej di telefonku mengejutkan aku dari tidur. Dengan mata yang masih rapat terpejam, aku meraba-raba mencapai telefonku sambil menggosok-gosok mata. Sudah pukul 1 tengah hari! Terkejut sungguh aku! Aku telah tertidur selama hampir 8 jam! Aku bingkas bangun. Tetapi duduk semula dan kemudian baring. Aku tersenyum sendiri. Bukankah peperiksaan sudah tamat? Aku terlupa.. Bolehlah aku bermalas-malasan hari ini. Segera aku membuka mesej yang baru aku terima tadi.

‘Tahniah cik Nurul Hanaa Aisyah! Anda telah pun tamat menduduki peperiksaan anda! Bilalah agaknya saya boleh merasa masakan anda? Inilah masanya untuk anda masakkan untuk saya!’ –Hisham.

Aku tersenyum lagi membaca mesej lucu Hisham itu. Malas aku hendak membalasnya. Peperiksaan sudah tamat. Mati kutu aku dibuatnya. Baru semalam ia berakhir, aku sudah tak keruan pagi ini memikirkan masa kosong yang begitu banyak. Tiba-tiba teringat pula pada emak dan abah di rumah. Ingin sahaja aku mencapai telefon dan menelefon emak. Tapi ketika ini pukul 9 malam di Malaysia. Pasti abah ada di rumah. Terpaksa lah aku tangguhkan dahulu. Aku mencapai tiket kapal terbangku di dalam laci yang aku beli 2 bulan lepas. Aku membelek-beleknya dengan teliti. Tarikh berangkat ialah 29 Mei 2004 dan tiba pada 30 Mei, hari Ahad. Pulang semula ke sini pada 1 Julai 2004. Sekejap sahaja cutiku kali ini. Memang aku tidak berniat untuk lama di Malaysia. Tarikh graduasiku dijangkakan pada 8 Julai 2004. Emak dan abah memang sudah bercadang untuk ikut bersama ke Ireland pada 8 Julai itu untuk menyaksikan anak bongsu mereka ini menerima ijazah dan sekaligus bergelar doktor. Insya-Allah…

Aku terasa seperti ada sesuatu yang mengganggu fikiranku yang telah lama aku tinggalkan tanpa penyelesaian. Baru aku teringatkan tentang abah dan calon pilihannya itu. Hati masih sakit, tetapi rinduku masih tebal pada abah. Aku bangun mencapai kotak suratku di tepi meja tulisku. Namanya sahaja kotak surat. Ia Cuma kotak kasut yang aku balut dengan pembalut berbunga-bunga warna merah hati. Aku letakkan poskad-poskad kiriman kawan-kawan lamaku yang sama-sama belajar di perantauan, surat dan kad-kad raya yang boleh dihitung dengan tangan sahaja jumlah nya serta gambar-gambar abah. Selama ini gambar-gambar itu aku letakkan dalam bingkai-bingkai yang cantik sebagai sumber inspirasiku untuk belajar. Tapi sejak tahun lepas, gambar-gambar itu telah aku keluarkan dan menyorokkannya di dalam kotak itu. Samalah seperti aku mengeluarkan abah dari hatiku dan menyorokkannya entah di mana di ruang fikiranku. Tapi hari ini, terasa rindu pula hendak melihat gambar abah. Aku menarik nafas panjang dan membuka kotak itu.

Lain yang aku cari, lain pula yang aku terjumpa. Kad kiriman Azmi, tunangku itu, aku baca sekali lagi…dan berulang-ulang kali lagi.. Azmi..Entah bagaimana lah dia. Entah bagaimana aku hendak menghadapi dirinya. Aku melempar kad itu ke tepi pintu bilikku. Tiba-tiba saja kemarahanku memuncak. Semua ini salah abah! Aku duduk di lantai menyandarkan badanku di katil sambil memeluk lututku. Azmi? Marahkah aku pada dia? Aku terasa seperti hendak mengoyak sahaja sampul kuning kad kiriman Azmi itu. Aku menekup wajahku sambil menangis.

Ah! Tak guna aku fikirkan semua ini lagi. Aku tidak sabar menunggu 29 Mei, 2 minggu dari sekarang. Aku akan pulang ke Malaysia. Akan aku selesaikan masalah ini segera. Tak mampu rasanya hatiku menahan derita begini. Mampukah aku menyerahkan diri ini kepada orang yang tidak aku kenali? Dengan cara dipaksa oleh abah pula? Adil kah itu namanya? Aku bingkas bangun, mandi, bersolat, bersarapan dan keluar dari rumah. Aku berjalan-jalan mengambil angin di luar. Entah ke mana hala tuju aku entah lah. Yang penting, hati yang gundah ini perlu aku hiburkan. Tanpa disedari, kakiku melangkah ke Tasik Lough. Aku memerhatikan pohon-pohon yang kelihatan agak rending di tepi-tepi jalan. Anak-anak Irish berjalan dengan riang beriringan tangan dengan ibu atau bapa mereka. Baru pulang dari sekolah agaknya. Comel sungguh! Aku tersenyum sendiri. Aku duduk di bangku di tepi tasik itu memerhatikan air tasik yang tenang mengalir. Matahari tidak begitu terik. Namanya sahaja musim panas, tapi anginnya masih sejuk. Mujur aku ada membawa baju sejukku.

Begitulah hari-hari ku berlalu selepas habis peperiksaan. Setiap hari, aku bangun dan terus keluar menuju ke tasik itu. Kadang-kadang aku bawa roti untuk aku taburkan kepada burung-burung swan yang ada di situ. Beberapa orang Pakcik dan makcik Irish yang selalu berjalan setiap petang di situ pun sudah mula mengenaliku dan mula bersembang denganku. Aku gembira dengan kehadiran mereka bercakap-cakap dengan ku. Cuma yang menakutkan aku ialah anjing-anjing mereka yang comel itu, hendak bermanja pula dengan aku!

24 Mei 2004! Keputusan peperiksaan ku telah keluar. Belum sempat aku pergi ke hospital untuk melihat keputusanku, Hisham sudah menelefonku dengan suara yang tersangat ceria.

“Ana!!! Tahniah!!! Kau dah lulus!!! Dr Nurul Hanaa Aisyah!!!” jerit Hisham di gagang telefon. Aku hampir mengalirkan air mata mendengarnya. Terlalu seronok!

“Alhamdulillah!! Encik di sana macam mana? Sudah boleh aku panggil Dr Hisham??”

“Iya, ini Dr Hisham bercakap..Ahahah” Gembira sungguh suara Hisham dengan hilai tawanya itu. Beria-ria dia mahu aku masakkan sesuatu untuknya.

Aku segera mengambil air sembahyang dan bersujud syukur. Akhirnya, aku bergelar doktor…Doktor Nurul Hanaa Aisyah binti Anuar. ..Anuar…Abah…Abah, Ana dah jadi apa yang abah idam-idamkan selama ini. Semua kehendak abah Ana turuti…Semuanya!! Termasuk masa depan Ana sendiri!
Hari itu aku memasak nasi minyak dengan lauk ayam masak merah yang istimewa untuk Hisham dan orang-orang rumahnya seramai 3 orang itu. Aku buatkan kek pisang dan kek cokelat untuknya. Aku kasihankan Hisham kerana sudah beribu-ribu kali dia menyuarakan keinginannya untuk merasa masakanku. Adakah aku sekadar kasihankan Hisham? Atau aku mahu memancing kasih sayangnya? Aku sendiri tidak pasti. Aku bungkuskan dalam bekas kemas-kemas dan aku hantar ke rumahnya. Hisham separuh menjerit melihat kedatanganku dengan makanan yang menyelerakan itu.

“Ana! Aku sayang kat kau!!! Bestnye! Tak sabar aku nak makan!!”

“Ish kau ni..Tak malu! Aku kesian je kat kau..Sebab tu aku masak”, kataku dan berlalu pergi. Hisham ni buang tabiat agaknya.

Hatiku berdebar-debar mendengar kata-kata Hisham tadi. Aku berjalan pulang dengan senyuman panjang. Hisham..Dia seorang yang baik, peramah, periang, mengambil berat tentang aku…dan menyenangkan hati aku dengan lawak jenakanya itu. Dia anak orang berada, kacukan darah Cina dan Melayu. Ibunya berketurunan Cina yang dipelihara oleh orang Melayu sejak kecil. Kulit Hisham cerah dan wajahnya ada iras-iras ibunya, tetapi matanya tidak sepet. Cermin matanya menyerlahkan kewibawaannya dan menampakkan ketegasannya. Badannya sederhana besar dan tingginya cuma lebih kurang 5 ke 6 sentimeter sahaja lebih daripadaku. Tapi aku sentiasa mengejeknya kurus dan tak bermaya. Kasihan dia..Aku tersenyum sendiri.

Setibanya di rumah, Izzah, Zizi, Intan dan Semah sedang rancak bersembang di ruang tamu dengan mulut masing-masing penuh dengan nasi minyak yang aku masak tadi.

“Kak!! Sedapnya kak!! Dah lama tak makan best best macam ni” kata Zizi. Yang lain-lain menyambung panjang lebar tentang nasi minyak dan kek itu.

“Ai kak…akak ke mana tadi…Semah nampak akak macam on the way pegi rumah Hisham tadi…Ha…ada apa-apa ke kak..” Semah bertanya dengan nada penuh makna. Aku sekadar tersenyum.

“Ntah-ntah, summer ni kita kena pegi Kedah makan nasik minyak sekali lagi…”, Sambung Intan sambil tertawa. Aku turut sama ketawa dan mula mencedok nasi untuk makan bersama mereka. Semuanya sudah tamat menghadapi peperiksaan. Riuh-rendah rumah kami malam itu dengan gelak ketawa kami menonton VCD Senario The Movie yang dipinjam Izzah dari Hanif petang tadi.

Masa berlalu pantas…

Petang esok aku akan pulang ke Malaysia. Malam selasa yang lepas, aku telah menelefon emak memberitahu berita gembira tentang peperiksaanku. Abah seperti biasa masih di masjid ketika itu. Memang aku sentiasa terselamat daripada menghadapi abah. Emak menangis kerana terlalu gembira. Suaranya seperti sudah tidak sabar-sabar lagi hendak berjumpa denganku. Aku akan turun di Alor Setar. Mungkin emak dan abah lah yang menjemput. Kak Ngah tinggal di Alor Setar. Tetapi dia terlalu sibuk dengan kerjanya. Kak Ngah seorang peguam yang bergiat cergas dalam politik. Apa perjuangannya, aku sendiri tidak begitu mengambil tahu.

Aku memandang bilik itu. Dindingnya berwarna kuning, menceriakan bilikku. Aku sendiri tidak pasti sama ada aku akan tinggal di situ lagi atau tidak setelah pulang ke sini nanti. Semuanya bergantung kepada di mana aku ditempatkan untuk housemanship ku nanti. Sekiranya permohonanku untuk membuat houseman di bandar Cork itu diluluskan, bilik itu akan tetap menjadi bilikku lagi. Aku bergaduh agak hebat dengan abah sebelum pulang ke sini musim panas lalu. Abah mahu aku terus pulang ke Malaysia setelah tamat pengajianku. Pada mulanya, memang aku telah bersetuju begitu. Tapi setelah dipaksa oleh abah untuk menerima calon pilihannya, aku menjadi keras kepala. Aku mengambil keputusan untuk menyambung terus di sini. Aku sendiri tidak tahu masa depanku. Entah-entah aku akan tinggal di sini sampai sepuluh tahun. Agaknya sampai rambut aku ini sudah naik uban, baru aku hendak pulang. Entah lah..Terfikir pula aku tentang emak. Kasihan emak. Dia mangsa pertelingkahan aku dengan abah.

Aku mengemaskan baju-baju untuk dibawa pulang. Aku mengambil seplastik besar cerderahati yang telah aku beli di bandar tempoh hari untuk aku hadiahkan kepada keluarga dan saudara-mara. Abah? Untuk abah? Aku menghadapi masalah besar mencari hadiah untuk abah. Perlukah aku membeli hadiah istimewa untuknya sepertimana yang aku selalu lakukan selama empat tahun berturut-turut. Akhirnya, aku teringatkan jam abah yang terjatuh di dalam sungai ketika dia di kebun, seminggu sebelum berita pertunanganku dikhabarkan. Aku telah berjanji akan membelikan jam baru untuk abah. Jam yang aku beli tempoh hari memang mahal. Meskipun hati aku bengkak dengan tindakannya, tetapi dia tetap insan yang istimewa. Dia abahku. Mungkin hadiah ini dapat menyambung kembali kasih sayang abah padaku. Aku susun semua baju-bajuku dengan kemas di atas katil. Pening pula rasanya melihat baju-baju ini.

Aku keluar sebentar menuju ke Tasik Lough petang itu. Aku perhatikan tasik yang tenang itu dengan burung-burung nya.

“Assalamualaikum..Mengelamun jauh nampak…Boleh aku duduk sama?” Tenunganku terhenti. Aku menoleh ke belakang. Hisham!

“Waalaikumussalam…oh..Hisham..emm..duduk lah..Kau pun ada kat sini ye?”

“Aku datang cari kau..” Hisham berhenti dan merenungku dari sisi. “Izzah kata kau ada kat sini”sambung Hisham. Aku berasa tidak senang dilihat begitu. Aku menginjak dudukku ke tepi supaya lebih jauh dengan Hisham. Malu aku rasanya duduk berdua di situ.

“Kau merenung ingatkan sapa ni Ana…Rindukan aku ye..”kata Hisham berseloroh. Senyumannya melebar. Aku tergelak mendengarnya.

“Ana..Boleh aku cakap sesuatu tak…”Tanya Hisham perlahan dengan nada agak serius. Terhenti ketawaku di situ. Aku seakan boleh mengagak apa yang bakal diperkatakannya. Tidak pernah aku mendengar suaranya se serius itu. Mataku masih memandang tasik.

“Cakaplah..”

“Ana, pandanglah aku. Kenapa kau macam tak suka aku kat sini?”

“Tak adalah…Kenapa, cakap lah…” Kataku sambil memusingkan badanku ke arahnya sambil tersenyum nipis.

“Ana…”Hisham terhenti di situ. Dia menundukkan kepalanya seolah-olah mencari perkataan untuk diperkatakannya. Perlahan-lahan kepalanya diangkat dan memandangku.

“Ana…Aku sayangkan kau..Aku nak ambil kau jadi teman hidup aku..Sudi tak kau…” Mata Hisham seolah-olah berkaca sedikit. Aku merenung Hisham dalam-dalam.. Hisham, Aku juga menyayangimu! Hisham, betapa aku gembira kalau kau ungkapkan ini dari dahulu lagi…Hisham…Aku tak mampu menyusun kata untuk ku jawab pada kau. Hisham merenung mataku seolah-olah mencari-cari sinar harapan.

Air mata aku mengalir perlahan-lahan dan jatuh dengan laju apabila aku menutup mataku. Seksa rasanya untuk aku ucapkan walau satu perkataan pun.

“Ana..kenapa menangis ana…Cakaplah something Ana.. Aku ada menyinggung perasaan kau ke…”Tanya Hisham lembut. Aku mengesat air mata yang mengalir di pipi. Aku tak mampu lagi duduk di situ. Aku tak mampu lagi melihat wajah Hisham. Aku bingkas bangun dan berjalan laju meninggalkan Hisham tanpa menoleh ke arahnya.

“Ana..!!” Jerit Hisham dari jauh. Beberapa orang Irish memerhatikan aku yang sedang tersedu menahan tangis.

Setibanya di rumah, aku terus masuk ke bilik dan menangis semahu-mahunya. Izzah masuk tanpa mengetuk pintu.

“Kak, kenapa ni kak…Apa dah jadi kak…Hisham ke kak??”

“Izzah, akak sepatutnya rasa bahagia hari ni.. Hisham kata dia sayangkan akak, nak ambil akak jadi isteri dia…” Aku masih mampu tersenyum pahit dengan air mata yang membasahi pipi. Izzah memelukku erat. Air mataku membasahi bahu Izzah.

“Kak..sabarlah kak..” kata Izzah lembut sambil mengusap kepalaku.

Setelah itu, aku luahkan segala perasaanku pada Izzah. Setelah reda sedikit barulah aku mampu ketawa, kembali kepada diriku yang ceria. Aku meminta Izzah menemankan aku malam itu. Esok aku akan pulang ke Malaysia. Tak perlu aku lihat wajah Hisham. Berkali-kali dia cuba menelefonku, tapi aku biarkan saja.

Izzah sudah tertidur di atas katilku. Aku mencapai beg yang besar di atas almari. Sudah hampir setahun beg itu berhabuk di situ. Beg besar berbentuk empat segi yang aku beli sejak tahun satu itu aku gunakan cuma untuk pulang ke Malaysia sahaja. Terlalu besar…Aku letakkannya di atas lantai dan mula berkemas. Aku membuka zip kecil di penutup beg itu. Emm..ada benda pula di dalamnya. Aku mengorek-ngorek poket itu mencari benda tersebut. Aku mencapai dan mengeluarkannya dengan penuh rasa tanda Tanya. Apa pula yang aku tinggalkan di dalam beg ini. Oh! Kotak baldu merah…Kotak cincin pertunanganku…Entah apa perasaanku ketika ini, aku sendiri tidak memahaminya. Bercampur-campur rasanya. Aku tidak pernah membukanya selama ini. Itupun emak memaksa juga aku membawanya ke sini. Dia yang meletakkan kotak itu di dalam begku.

Perlukah aku membukanya? Azmi? Adakah Azmi untukku? Atau Hisham? Hatiku sangat menyayangi Hisham. Tapi Azmi? Adakah dia bersalah dalam hal ini? Entahlah.. Aku buka juga kotak itu. Cincin emas dihiasi dengan ukiran berbentuk hati itu ternyata sungguh cantik. Diselang-seli pula corak kelilingnya dengan emas putih. Aku masukkan kembali ke dalam kotak itu dan menutupnya. Aku belum terasa hendak memakainya. Aku masukkan semula ke dalam poket tadi. Aku ini tunangan orang, Sham…Maafkan aku…


bersambung lagi..lagi ..dan lagi..hehe..

wassalam..

No comments:

Related Posts with Thumbnails