Thursday, May 13, 2004

Assalamualaikum..

nih sambungan cerpen.. nway, citer nih dah jadi makin menarik.. adehh.. kita nantikan sambungannya kelak, kalau pilihan abah si DR AZMI, pilihan ANA pulak camane.. haii.. susah2 pilih IR je lah..hehe.orait..

CALON PILIHAN ABAH ( PART VIII)

Aku menyuap nasi perlahan-lahan. Perutku terasa seperti sudah kenyang walau hanya beberapa suap sahaja yang aku telan. Aku teringatkan abah. Rindukan dia..Terlalu rindu. Aku teringat tempat duduk Azmi di sisi meja itu, itulah tempat abah selalu makan. Abah suka mengajak aku makan dengannya. Sup daging adalah makanan kegemaran abah, itulah juga makanan kegemaran aku. Teringat aku ketika aku berebut merasa sup dengan abah. Abah pula seronok melihat aku merajuk kerana dia sudah merasanya dulu.

“Ana..” panggilan Azmi mengejutkan aku dari lamunanku. Berdebar jantungku mendengar panggilan Azmi.

“Boleh tolong hulurkan air basuh tangan tu pada Mi?”

“Emm…” balasku sambil menghulurkan air basuh tangan tanpa memandang wajahnya. Aku sendiri tak pasti rupa wajah Azmi ini bagaimana. Entah lah kenapa, aku tidak rasa ingin hendak melihat wajah Azmi itu. Cukup sekadar melihat dari jauh dan mendengar suaranya sahaja. Aku sendiri tak tahu kenapa aku begini. Bencikah aku pada dia? Malu kah aku untuk memandang wajahnya? Adakah aku teringatkan abah ketika aku memandangnya? Entah lah..Perasaanku ini masih kabur..

Dia ligat membasuh tangannya. Kemudian, duduk bersandar menunggu emak. Aku tunduk sahaja sambil menyuap perlahan. Ku rasakan matanya memandangku lama.

“Ana..Mi harap Ana sabar dengan pemergiannya Pakcik Nuar. Allah sayangkan dia.. Mi dapat rasa kesedihan hati Ana…”

Aku sekadar mengangguk-angguk tanpa berkata apa-apa. Aku nampak bayang dia tersenyum nipis memandangku.

“Macam tu lah tunang Mi…”katanya sambil tersenyum lagi.

“Dulu abah Ana selalu cerita pada Mi tentang Ana. Dia kata Ana ni anak dia yang paling manja. Yang paling dia sayang…”

Aku terdiam. Apa lagi yang abah ceritakan pada dia?

“ Pakcik Nuar kata anak dara dia ni penyabar orangnya, bijak, cantik, pandai memasak..Tapi kuat merajuk..”

Aku tersenyum sedikit mendengar kata-kata Azmi. Azmi ini nampaknya seperti pemalu. Tapi pandai pula dia berkata-kata di hadapanku. Azmi tersenyum puas melihat senyuman ku tadi.

“Kan manis Ana senyum macam tu… Barulah..” belum sempat Azmi menghabiskan katanya, emak sudah tiba dengan air teh susu. Aku diam lagi. Cuma emak dan Azmi sahaja yang bersembang.

Azmi pulang lebih kurang pukul 1.35 petang untuk solat zuhur di masjid. Hari itu, aku terasa lebih bersemangat meneruskan kehidupanku. Entah kenapa. Aku sudah mula ke dapur menolong emak masak. Tidak lagi berkurung menangis di bilik. Aku sudah mula bersembang-sembang dengan emak dan sudah boleh tertawa. Kenangan dengan abah masih bermain di mataku, namun mendengar kata-kata Azmi, aku terasa seolah-olah abah masih ada, masih terlalu menyayangi aku seperti dulu….walau apa yang telah terjadi antara kami..

Beberapa hari selepas itu Azmi menelefon rumah ku, meminta izin emak untuk bercakap denganku. Berdebar rasanya hatiku ini.

“Assalamualaikum Ana..”

“Waalaikumussalam…”

“Ana sihat..?”

“Emm..alhamdulillah..”

“Ana…Mi teringat lah pada tunang Mi..” Tersentak aku mendengar luahan hati Azmi itu. Aku memandang ke kiri kanan, risau kalau-kalau emak mendengarnya.

“Ana..dengar tak Mi cakap..” Aku diam saja.

“Tadi mak kata ana dah ceria semula. Mi teringin nak tengok Ana gembira semula..”

“Emm..” itu sahaja yang mampu keluar dari mulutku. Melampau-lampau pula aku rasa Azmi ini berbahasa denganku. Cara pembawaan dirinya menunjukkan dia seorang yang pemalu, tapi lain pula dia berbahasa denganku.

“Ana, mak kata ana nak pergi perbaharu lesen kereta..Nak Mi hantarkan esok? Esok Mi tak bizi..Klinik Mi kawan Mi tolong jagakan..” Ada klinik sendiri rupanya Azmi ini..

“Emm..takpe lah..terima kasih,..Ana pegi naik teksi aje..tak pa..Lagipun, tak eloklah pergi berdua kan..” kataku. Azmi tertawa kecil mendengar kataku.

“Mi tau..Nanti Mi bawak anak saudara Mi yang umur 5 tahun..OK..jumpa esok ye..Pukul 2 Mi datang ambik Ana ye..” Katanya lalu memberi salam dan meletakkan telefon. Aku termenung sendiri. Azmi..Azmi.. Perasaan hati ku ini masih belum ada untuknya. Aku terpaksa menerima tawaran Azmi itu, meskipun hati ini berat untuk terlalu rapat dengannya.


Malam itu aku keluarkan cincin pertunanganku dan cincin pemberian Hisham. Ah Hisham! Sudah lama dirinya kuletakkan ke tepi. Kehilangan abah menyebabkan aku terlalu sedih untuk memikirkan apa-apa tentang diriku.

“Ana!! Telefon!” jerit emak dari bawah. Aku segera berlari menuruni tangga mencapai telefon. Entah siapa yang menelefon.

“Assalamualaikum…Ana!!!” Kedengaran suara yang aku kenali menjerit namaku.

“Waalaikumussalam…Hisham…kau rupanya..terkejut aku!”

“Ana..aku kene cepat nii…Nak pegi ambik mama dan papa aku di airport. Diorang baru sampai dari Malaysia. Ana, kau dapat posting di CUH untuk 6 bulan pertama. 6 bulan kedua pulak kau di Mercy Hospital. Kita sama hospital lah!! Tak sabar aku nak tunggu kau balik untuk grad ..”

“Sama ke kita..Boleh la aku tumpang kereta kau pegi keje” selorohku

“Tak boleh lah..unless kalau kau dah pakai cincin haritu…” Aku terdiam mendengar kata-kata Hisham.

“Okla Ana…Aku kene pergi ni..”

“OK..Thanks Hisham..”

“Ana…Aku rindukan kau..” Terus saja dia meletakkan telefon selepas itu. Aku menepuk dahiku perlahan. Apalah nasib ku ini..Aku merindui Hisham..Tapi Azmi pula bagaimana?

Di bilik, aku duduk seorang memeluk lututku di atas katil. Aku memandang kedua-dua kotak cincin pemberian Hisham dan Azmi. Hisham adalah calon pilihan hatiku. Azmi adalah calon pilihan arwah abah. Kerana Azmi jugalah aku bergaduh dengan abah. Abah..maafkan ana kerana terlalu marah pada abah..Tapi kenapa abah lakukan ini pada ana…Ana tak faham abah…Aku kesat air mata yang mengalir.

Terfikir pula aku tentang tawaran bekerja di Cork itu. Aku tak mampu meninggalkan emak sendirian. Mahukah emak mengikut aku ke Ireland? Aku dapat rasakan tidak mungkin untuk emak tinggal di sana, walau untuk sebulan sahaja. Emak pasti tak senang duduk. Tak mungkin emak mampu meninggalkan rumah yang penuh dengan kenangannya bersama abah itu tanpa penjagaannya sendiri. Walaupun emak nampak tenang, tapi setiap kali selepas solat, aku nampak air mata emak mengalir.Aku tidak boleh mementingkan diri sendiri. Biarlah aku pulang sahaja ke Malaysia selepas graduasiku.

Aku turun ke bawah selepas solat isyak. Malam itu, serba-serbi emak bercerita tentang Azmi padaku. Aku Cuma diam mendengar cerita emak, tapi segala apa yang emak sampaikan aku rakam baik-baik dalam fikiranku. Azmi itu, doctor lulusan Universiti Al-Azhar di Mesir. Dapat pula jadi hafiz Al-Quran sepanjang dia di sana.

Esoknya, Azmi datang tepat jam 2 petang. Dari bilik, ku lihat Azmi mendukung anak saudara perempuannya masuk ke rumah ku. Aku segera bersiap. Baju kurung ungu lembut kupadankan dengan tudung ungu bunga-bunga sama warna. Aku turun ke bawah sambil kepalaku menjengok-jengok memerhati Azmi dari atas.

“Anak dara bersiap memang macam tu Mi..Kejap lagi turun lah dia tu..” kata emak.

“Ana dah siap lah mak…”kataku dengan nada merajuk ketika menjejak ke anak tangga terakhir. Azmi tersenyum memandangku.

“Ana, ni anak saudara Mi, Izzati. Anak adik Mi, Nora” kata Azmi. Izzati datang bersalam dan mencium tanganku. Aku tersenyum sambil mengusap kepala Izzati.

“Ooo..Izzati ye..Nanti kakak ambik cokelat Ireland kat Izzati ye..” Izzati nampak gembira sekali dengan kata-kataku.

“Bukan kakak..Maklong..”kata Azmi perlahan. Mujur emak tiada di situ. Aku menjeling Azmi tajam, dan terlihat wajahnya yang sedang tersenyum. Tidak kacak, tapi manis dan bersih wajahnya. Itu baru kali kedua aku memandang wajahnya sejak kami berjumpa di airport.

Di dalam kereta, aku lebih banyak berbual-bual dengan Izzati. Aku duduk di belakang. Aku biarkan Izzati duduk di depan. Izzati berpusing mengadap ke belakang dan berceloteh denganku sepanjang perjalanan pergi ke pejabat pengangkutan jalan raya. Azmi Cuma ketawa mendengar cerita-cerita anak saudaranya.

Lama juga aku di pejabat itu, ramai pula orang berbaris. Dalam perjalanan pulang, Izzati sudah pun tertidur di pangkuanku di belakang.

“Ana..Jadi ke buat houseman di Ireland?” soal Azmi. Lama aku terdiam sebelum menjawab soalannya.

“Erm..tak tau lagi..Mungkin tak..kesian mak, tinggal sorang..tengoklah dulu macam mana” jawabku dengan nada kerisauan.

“Ana fikirlah mana yang terbaik..Mi takde halangan..” kata Azmi mematikan bicara kami. Sepanjang 10 minit sebelum tiba di rumah itu, kami sama-sama diam. Aku sendiri tidak tahu apa yang perlu kukatakan. Setibanya di rumah, puas emak mengajak Azmi singgah, tapi ditolak dengan alasan Izzati sudah tidur.

Aku pula terus sahaja masuk ke rumah selepas membaringkan Izzati di tempat duduk belakang kereta. Malam itu, Azmi menelefonku lagi.

“Ana..Mi sebenarnya nak cakap sesuatu..Mi harap Ana boleh pertimbangkan..” ujar Azmi perlahan.

“Kalau boleh, Ana tak payah lah buat housemanship di Ireland. Ana buatlah di Alor Setar saja. Insya-Allah, kalau diizinkan…Mi ingin jaga Ana dan mak lepas ni..” Kata-kata Azmi itu disusun molek-molek olehnya ku dengar. Suaranya matang menuturkan kata-kata itu. Aku terdiam mendengarnya.

“Ana..Mi minta maaf..Bukan Mi menggesa Ana..Tapi Mi kasihankan mak Ana..Sejak arwah pakcik Nuar tak ada, dia tinggal seorang di rumah tu..Mujur anak-anak Mak Kiah pergi temankan Mak Ana malam-malam..” Aku diam lagi. Aku terbayang wajah sedih emak.

“Ana, Mi tak kisah kalau Ana tak bersedia lagi untuk hidup dengan Mi, tapi Mi harap Ana tak usah lah tinggalkan makcik sendiri ye..” tutur Azmi lembut. Aku menelan air liur dengan kerongkong yang tersekat kerana sebak. Mak…

“Emm..Insya-Allah” Itu sahaja yang mampu terkeluar dari mulutku. Aku terus saja memberi salam dan meletakkan telefon.

Aku masuk ke bilik melihat emak yang sedang lena tidur. Aku pandang wajah emak lama. Emak tidur nyenyak sekali..Aku baring di sebelah emak, sambil menguis-nguis rambut emak yang sudah hampir penuh beruban itu. Mak..Ana janji takkan tinggalkan emak…

Belum sempat aku terlena, telefon berbunyi lagi. Aku segera bangun untuk mengangkat telefon di atas tangga. Siapa pula lah yang menelefon malam-malam buta ini..

“Assalamualaikum Ana!!” Aku kenal benar suara ceria itu. Hisham! Aku rindu sungguh padanya!

“Hisham! Kau ni…Lambatnya telefon aku!”

“Ehh..excited sangat dapat cakap ngan aku, jangan la lupa jawab salam tu cik adik..” Aku tersengih lebar mendengar suara Hisham.

“Waalaikumussalam..”

“Ana, aku ada banyak cerita nak cerita kat kau lah..”

“Sham..aku pun ada benda nak cerita pada kau..Sham..kau dengar aku cakap dulu boleh..?” soalku lemah.

Malam itu, aku ceritakan segalanya pada Hisham. Segalanya..tentang pemergian abah, tentang perasaan aku, tentang emak, tentang housemanship ku…Tapi..tak ku sentuh sedikit pun tentang Azmi. Rasanya, tak perlu aku khabarkan tentang dia. Perasaanku sudah lama tercurah buat jejaka bernama Hisham ini. Kurasakan tak perlu untuk aku gemburkan tentang Azmi. Perasaanku bukan padanya.

Aku berasa senang sekali mendengar segala nasihat yang diberikan Hisham. Sekali-sekala jenakanya membuatkan aku ketawa. Sesungguhnya aku gembira dan bahagia dengan Hisham.. Dia juga bersetuju supaya aku terus pulang ke Malaysia. Aku tahu dia bersedih dengan ketiadaanku nanti. Tapi, katanya, itulah yang terbaik buatku. Aku senang dengan kata-kata Hisham.

Selesai sahaja bercakap dengan Hisham, aku terasa bagaikan pasti bahawa dia lah sebenarnya untukku. Aku bertekad akan bersetuju menerima Hisham. Kalau abah masih ada, pasti abah juga akan menyukai Hisham. Aku pasti abah juga mahu anaknya ini gembira. Aku pasti..


(by permata_fatimah)

bersambung..

No comments:

Related Posts with Thumbnails