Friday, April 30, 2004

Salam..tibalah masa yg di nanti-nantikan..sambungan cerpen hari tuh..citer nih jadi makin suspen pulak..hishh... nway, nantilah bila2 aku kumpulkan semua cerita nih letak kat dalam satu file..senang sikit korang nak view.. coz nak tunggu sambungannya agak lama..orait..

CALON PILIHAN ABAH - VI (by permata_fatimah)

Petang itu Izzah, Zizi, Semah dan Intan menghantarku ke lapangan kapal terbang. Aku memeluk mereka seorang demi seorang dengan perasaan sedih.

“Akak, kenapa sedih sangat ni..?” soal Zizi

“Emm..iye laa..manalah tau, permohonan housemanship akak tertolak ke..Akak kena lah balik buat kat Malaysia…Tak dapat lah kita serumah lagii…” ujarku dengan nada sedih. Hatiku masih teringatkan Hisham..

“Kak, 2 minggu lagi kitorang balik Malaysia boleh la jalan-jalan Kedah, pi umah akak” sampuk Izzah yang sejak tadi diam.

“Datang lah…Jangan tak datang pulak…” jawabku sambil mencubit pipi tembam Izzah.

Aku perlu masuk ke balai berlepas sekarang. Cuma tinggal setengah jam sahaja sebelum bertolak. Aku melambai-lambai ke arah mereka sambil berjalan perlahan-lahan.

“Ana!!” Satu suara memanggilku dari jauh. Suara yang aku kenali. Aku berpaling melihatnya.

“Eh, Sham..Mana kau tahu aku balik harini..”kataku perlahan ketika dia tiba di depanku. Aku menunduk malu teringatkan peristiwa semalam. Berkali-kali dia menelefonku semalam, tapi tidak kujawab satu pun.

“Takkan aku tak tahu pulak..Ni ha..untuk kau…Jaga diri ye..” Kata Hisham sambil menghulurkan bungkusan kecil kepadaku.

Aku tidak bercakap banyak. Sudah kutolak pemberiannya itu. Dipaksa juga aku menerimanya. Aku sekadar tersenyum tawar.

Di dalam kapal terbang, segera aku membuka bungkusan pemberian Hisham. Cincin. Aku menyandarkan tubuhku lemah di tempat dudukku. Ada nota ringkas ditinggalkan untukku.

‘Ana, andai kau terima hati aku, pakai lah cincin ni.’

Aku masukkan sahaja kotak itu ke dalam beg kecilku. Mataku sudah tak mampu menangis lagi. Aku perlu melupakan Hisham ketika ini. Tak apa lah..pulang ke Malaysia nanti, akan aku pujuk abah supaya memutuskan pertunanganku dengan Azmi, dan menerima Hisham.

Aku tiba di London dan terkocoh-kacah aku mengejar kapal terbang London- Kuala Lumpur pula. Aku tidak dapat tidur sepanjang perjalananku. Aku mendengar ayat-ayat suci Al-Quran dan nasyid yang dimainkan di saluran radio peribadi dalam kapal terbang itu. Itu sahaja yang dapat menenangkan aku sekarang. Aku memasang nekad untuk cuba berbaik-baik semula dengan abah kali ini. Akan kupujuk dia bila tiba masa yang sesuai nanti. Aku sangat sayangkan abah. Lagipun, abah sudah tua. Bagaimana kalau abah pergi dulu sebelum aku sempat memohon maaf kepadanya. Aku rindukan kemesraan kami dahulu. Aku rindukan abah..Biarlah kepulangan ku kali ini membawa semula keceriaan hidupku..

Tiba di Kuala Lumpur, aku menaiki pula kapal terbang domestik ke Alor Setar. Letih rasanya badanku ini. Tapi aku puas! Puas kerana aku telah pun pulang membawa kejayaan. Tak sabar rasanya hendak membawa emak dan abah bersamaku ke Ireland bulan depan untuk menyaksikan hari graduasiku. Akan aku pertemukan mereka dengan Hisham.

Aku melambai-lambai Kak Ngah dari jauh. Shikin, anak saudaraku berusia 17 tahun dan Nina, berusia 5 tahun melambai dengan girang ke arahku. Aku tersengih riang. Aku bersalaman dan berpelukan dengan mereka. Hairan juga aku, ada pula masa dia dan keluarganya mengambil aku hari ini. Selalunya dia sentiasa sibuk dengan kerja-kerja politiknya. Emak dan abah tak kelihatan pula. Kira-kira 5 meter dariku, kulihat abang Ngah sedang bercakap-cakap dengan seseorang. Pemuda berbadan sedikit berisi itu berpaling ke arahku. Direnungku sebentar dan senyuman manis dihadiahkan kepadaku. Siapakah dia? Itukah..

“Ana..pandang siapa tu..Itulah tunang ana,Azmi..” kata kak Ngah sambil tersenyum.
Aku membalas senyuman kakNgah dengan cubitan ke lengannya. Shikin dan Nina tertawa melihatku.

“Mak dan abah mana kakNgah?” soalku. Tak sabar rasanya hendak menatap wajah mereka.

“Ada di rumah..Jom lah kita balik..” Kak Ngah terus saja memanggil Abang Ngah dan Azmi.

“Dr Farhana!! Apa macam? Sehat?” tegur Abang Ngah dengan penuh keceriaan. Abang Ngah memang periang orangnya.

“Sehattt..alhamdulillah…” jawabku sambil tersengih. Azmi kulihat diam saja di tepi Abang Ngah. Aku sendiri tidak berani melihat wajahnya. Malu. Segan. Entah apa lagi perasaan yang bersarang.

“Ini pulak..Dr. Azmi.. Ala Mi..Mai lah sini..Malu-malu pulak dia..” sambung Abang Ngah. Aku menunduk malu dan memandang kak Ngah yang tersengih melihat Azmi. Dia nampak serba-salah untuk berhadapan denganku.

Aku memberanikan diri menoleh memandangnya. Tepat pula ke wajahnya. Wajah itu nampak resah diperlakukan begitu. Orangnya hitam manis, berkulit sawo matang. Wajahnya nampak matang dan dapat aku rasakan dirinya seorang yang sangat pemalu. Kalau hendak dibandingkan dengan Hisham..Hisham jauh lebih kacak dan menarik pada pandanganku.

“Emm..ana apa khabar” soalnya perlahan.

“Alhamdulillah..” ringkas sahaja jawapanku.

Sampai di situ sahaja jawapan sepatah aku. Aku terus pura-pura sibuk mengangkat beg kecil ku.

“Mi ikut ke rumah sama?” Tanya Abang Ngah pada Azmi.

“Emm..tak apa lah Angah..Urusan keluarga angah ni..tak eloklah Mi ada pula..” ujar Azmi. Urusan keluarga apa pula?? Aku tertanya-tanya di dalam hati.


-jeng..jeng..jeng..hehe..bersambung..

No comments:

Related Posts with Thumbnails